Riwayat hadits yang berasal dari Hudzaifah bin Usaid Al-Ghifariy mengatakan: Sehabis menunaikan ibadah haji wada Rasulullah s.a.w. mengucapkan khutbah: "Hai kaum Muslimin, bahawasanya Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui memberitahu kepadaku, bahawa seorang Nabi tidak diberi umur lebih dari separuh umur para Nabi terdahulu. Aku merasa sudah hampir dipanggil dan aku akan memenuhinya. Aku akan mendahului kalian berada di dalam Haudh (syurga), dan pada saat kalian datang kepadaku kalian akan ku tanya mengenai dua bekal. Kerana itu perhatikanlah bagaimana kalian akan memperlakukan dua hal (bekal) itu sepeninggalanku. Bekal yang terbesar ialah Kitabullah s.w.t., suatu sarana yang hujung satunya berada di tangan Allah dan hujung yang lainnya berada di tangan kalian. Kerananya peganglah teguh, jangan sampai kalian sesat dan jangan pula menggantinya. Bekal yang terkecil ialah keluarga keturunanku, ahlulbaitku. Aku telah diberitahu Allah Yang Maha Lembut, bahawa kedua-duanya itu tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (syurga)…"
Diriwayatkan juga bahawa pada saat itu Rasulullah s.a.w. memanggil orang ramai, kemudian beliau membaca ayat 33 surah Al-Ahzab…
Jadi jelaslah bahawa keturunan ahlulbait termasuk dalam lingkungan ahlulbait. Mereka adalah orang-orang shafwah (suci), tetapi bukan orang-orang ma'shum (terpelihara dari kemungkinan berbuat dosa), sebab yang ma'shum hanyalah para Nabi dan Rasul alaihimus salam, sedang orang-orang bukan Nabi hanya memperoleh anugerah Ilahi. Mereka memperoleh anugerah mengenai soal-soal yang bagi mereka masih tertutup, yakni tidak mereka ketahui. Adapun orang-orang yang telah memiliki kesanggupan mengetahui soal-soal yang tertutup, mereka itu telah berada pada martabat yang lebih tinggi daripada orang-orang yang memperoleh anugerah…
Mengenai ucapan Rasulullah s.a.w. "kedua-duanya tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh", dan ucapan beliau "jika kalian berpegang teguh padanya kalian tidak akan sesat" itu hanya berlaku bagi para Imam yang berasal dari keturunan ahlulbait, tidak berlaku bagi orang-orang selain mereka. Orang-orang yang berbuat buruk, atau orang yang amalan baiknya bercampuraduk dengan amalan buruknya, bukanlah teladan yang patut diikuti. Orang-orang seperti itu tentu ada di kalangan para keluarga keturunan Rasulullah s.a.w., sebab mereka itu tidak terhindar dari syahwat manusiawi dan tidak maksum seperti para Nabi…
Sama halnya dengan Kitabullah pada masa-masa diwahyukannya, ada ayat-ayat yang nasikh (mengesamping) dan ada pula ayat-ayat yang mansukh (dikesampingkan). Ayat-ayat yang nasikh oleh hukum dinyatakan lebih kuat daripada ayat-ayat yang mansukh. Demikian juga orang-orang dari keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Yang mempunyai keistimewaan sebagai teladan berada pada martabat lebih tinggi daripada yang tidak mempunyai keistimewaan sebagai teladan. Kita wajib berteladan kepada para ulama dari mereka yang telah dijamin oleh Allah s.w.t. ada pada mereka. Jadi, kita wajib berteladan bukan kerana memandang asal-keturunan mereka. Orang-orang yang bukan seunsur atau bukan seasal-keturunan dengan mereka, jika benar-benar menguasai ilmu agama sedalam-dalamnya pun wajib kita jadikan teladan, kerana Allah s.w.t. telah berfirman:
"Taatilah Allah dan Taatilah Rasul serta para pemegang urusan (syariat) dari kalian".[An-Nisa: 59]
"Orang-orang yang memegang urusan syari'at dari kita ialah mereka yang memperolah pengetahuan dari Allah dan Rasul-Nya mengenai ilmu-ilmu yang sangat diperlukan untuk mengurus soal-soal syar'at Allah. Menurut hemat kami, Rasulullah s.a.w. dengan ucapan beliau itu menunjuk anggota-anggota keluarga keturunan beliau, kerana jika mereka itu baik nescaya mempunyai keistimewaan dapat memahami apa yang diperlukan. Sebab kebaikan unsur dapat melahirkan kebaikan akhlak, dan kebaikan akhlak akan menciptakan kebersihan dan kesucian hati. Manakala hati telah bersih dan suci ia akan memberikan cahaya terang dan dengan cahaya itu dada akan menjadi lebih cerah. Semuanya itu merupakan kekuatan bagi orang yang bersangkutan dalam usahanya memahami apa yang harus dilakukan menurut perintah syari'at".
Demikian Imam Tirmudziy mengemukakan pendapat dan alasan-alasan mengenai 'itrah' (keluarga keturunan Rasulullah s.a.w.) yang tercantum dalam hadits Tsaqalain.
Mengenai pendapat dan alasan-alasan tersebut Syeikhul-Islam Taqiyyuddin Ahmad bin Taimiyyah dalam kitabnya yang berjudul 'Al-IAqidatul-Wasithiyyah'
"Dua kalimat hadits Tsaqalain yang menyatakan 'kedua-duanya tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh, dan sesuatu yang jika kalian berpegang teguh padanya kalian tidak akan sesat'; tidak hanya berlaku bagi para Imam atau orang-orang terkemuka dari keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. saja, melainkan berlaku juga bagi semua orang yang berasal dari keluarga keturunan beliau s.a.w., baik yang awam mahupun yang khawash, yang menjadi Imam mahupun yang tidak. Pertanyaan Rasulullah s.a.w. yang menegaskan 'kedua-duanya tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh' tidak mengandungi makna, bahawa mereka itu harus sanggup melaksanakan semua ketentuan yang ditetapkan dalam Kitabullah; sehingga Tirmudziy mengatakan, bahawa di antara mereka itu ada 'orang-orang berbuat buruk, atau orang yang amalan baiknya bercampuraduk dengan amalan buruknya…' dan seterusnya. Pertanyaan Rasulullah s.a.w. itu adalah dorongnya supaya orang menghormati mereka, dan merupakan berita menggembirakan bahawa mereka itu tidak akan meninggalkan agama Islam hingga saat mereka memasuki syurga (haudh) dengan selamat. Itulah makna pernyataan Rasulullah s.a.w. bahawa mereka itu tidak akan berpisah dari Kitabullah hingga saat mereka kembali kepada beliau si syurga kelak…'
"Sebagaimana telah saya katakan, makna 'noda' atau 'kotoran' (rijsa) dalam ayat tersebut di atas, mencakup segala macam dosa dan kesalahan lainnya, dan paling buruk ialah kufur. Orang-orang dari keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. adalah orang-orang yang telah disucikan langsung oleh Allah s.w.t. Dalam hal keteguhan berpegang pada agama Islam mereka itu tidak akan goyah atau tergelincir…"
"Mungkin orang ingin berkata kepada kami: Dalil itu tidak dapat diterima oleh Tirmudziy, kerana ia berpendapat bahawa ayat 33 surah Al-Ahzab ditujukan khusus kepada para isteri Rasulullah s.a.w.…"
"Kami menjawap: Benar, sekalipun ia berpendapat seperti itu, namun telah nyata terdapat pembuktian kuat, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah memanggil 'Ali bin Abi Thalib, Fatimah, al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu anhum, kemudian beliau membacakan ayat 33 surah Al-Ahzab…"
"Tirmudziy sendiri dalam penjelasannya mengatakan, bahawa 'keturunan mereka (ahlulbait) memang termasuk dalam lingkungan ahlulbait, kerana itu mereka adalah orang-orang shafwah (suci)'. Dikatakan juga olehnya: 'Hal itu dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. setelah ayat 33 surah Al-Ahzab turun, kerana beliau ingin memasukkan mereka ke dalam makna ayat tersebut'. Dengan keterangan seperti itu bererti Tirmudziy yakin bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memanggil 'Ali bin Abi Thalib, Fatimah, Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu anhum – dan mereka telah memenuhi panggilan beliau itu dan mendengarkan Rasulullah s.a.w. membacakan ayat 33 surah Al-Ahzab di depan mereka. Dengan demikian meka jelaslah, bahawa mereka termasuk dalam makna ayat tersebut. Jadi, pada hakikatnya keterangan Tirmudziy itu sama dengan pendapat para ulama yang lain…'
Mengenai tidak akan terpisahnya mereka (keluarga keturunan Rasulullah s.a.w.) dari Kitabullah, bermakna bahawa mereka itu tidak akan menyeleweng dari agama Islam hingga saat mereka kembali kepada Rasulullah s.a.w. di syurga. Makna tersebut diperkuat dalilnya oleh firman dalam ayat 5 surah Adh-Dhuha:
"Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu sehingga emgkau menjadi puas…"
'Al-Qurthubiy dalam tafsirnya yang dikutip dari Ibnu 'Abbas r.a, mengatakan: Kepuasan Muhammad Rasulullah s.a.w. ialah kerana tidak ada seorang pun dari ahlulbaitnya yang akan masuk neraka'.
'Dalil-dalil hadits mengenai hal itu banyak sekali, antara lain bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Fatimah telah sungguh-sungguh menjaga kesucian dirinya. Kerana itu ia dan keturunannya dihindarkan Allah dari seksa neraka". Al-Hakim menegaskan bahawa hadits tersebut shahih…'
'Ada hadits lain lagi yang berasal dari Imran bin Hashin r.a. Ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Aku telah mohon kepada Tuhanku supaya tidak memasukkan seorang pun dari keluargaku (ahlulbaitku) ke dalam neraka, dan Dia mengabulkan permohonanku". Demikian Imam Ibnu Taimiyyah'.
Dalam Bab yang akan datang hal itu akan kami uraikan lebih terperinci. Di sini kami sebutkan saja sebuah dalil tambahan, berupa hadits Rasulullah s.a.w. yang amat jelas maknanya, iaitu:
"Semua sebab dan nasab akan terputus pada hari kiamat kecuali sebabku dan nasabku".
Dalam hadits tersebut terang sekali bahawa ahlulbait Rasulullah s.a.w. maksum (terpelihara) dari kekufuran. Sebab kalau ada kemungkinan mereka akan menjadi kafir tentu Rasulullah s.a.w. tidak akan menegaskan pengecualian mereka dalam hadits tersebut. Kekufuran adalah pemutusan hubungan sebab dan nasab (asal keturunan) yang paling besar. Jadi, tetap tidak akan terputusnya hubungan nasab dengan Rasulullah s.a.w. hingga hari kiamat kelak merupakan hujjah yang sangat kuat tentang tidak akan terpisahnya keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. dari agama Islam.
Mengenai wasiat Nabi s.a.w. kepada ummatnya supaya berpegang teguh pada Kitabullah dan itrah atau ahlulbait beliau, tentu saja harus sesuai dengan keadaannya masing-masing. Berpegang teguh pada Kitabullah bererti teguh melaksanakan atau mengamalkan ketentuan dan hukum-hukum syari'at-Nya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram. Berpegang teguh pada ahlulbait Rasulullah s.a.w. bererti memelihara dengan baik hak-hak mereka, seperti: mencintai mereka, menghargai dan menghormati mereka.
Mengenai orang-orang dari keturunan Rasulullah s.a.w. yang oleh Tirmudziy dikeluarkan dari lingkungan ahlulbait yang wajib dijaga hak-haknya dengan baik – kerana menurut Tirmudziy hadits tersebut di atas hanya berlaku bagi para Imam dan orang-orang terkemuka ahlulbait, Ibnu Taimiyyah mengetengahkan riwayat-riwayat hadits yang lain sebagai hujjah. Antara lain riwayat hadits yang berasal dari Zaid bin Arqam, iaitu:
"Kutinggalkan kepada kalian dua bekal. Yang pertama ialah Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang; maka ambillah Kitabullah itu dan berpeganglah teguh padanya…, dan ahlulbaitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku"!
Dari hadits Zaid bin Arqam itu kita dapat mengetahui, bahawa Rasulullah s.a.w. pertama-tama mengkhususkan pesan beliau supaya kaum Muslimin berpegang teguh pada petunjuk dan hidayat Kitabullah Al-Qur'anul-Karim. Hikmah mengenai hal itu beliau menyebutnya dengan kata-kata "di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang". Setelah itu barulah beliau menyebut ahlulbait dengan ucapan "Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku". Pesan beliau itu diucapkan dua kali untuk lebih menekankan perlunya memelihara hak-hak mereka sebagai keluarga keturunan beliau s.a.w. Dalam pesanan beliau itu sama sekali tidak terdapat pengistimewaan yang seorang daripada yang lain di antara semua keluarga ahlulbait.
Jelaslah kiranya, bahawa yang dimaksud dengan keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. atau ahlulbait ialah mereka semua yang diharamkan menerima shadaqah atau zakat, sebagaimana yang dikatakan oleh Zaid bin Arqam dalam hadits Tsaqalain yang diriwayatkannya. Oleh Rasulullah s.a.w. mereka itu disebut secara beriringan dengan penyebutan Kitabullah. Sudah pasti itu bermaksud menghormati kedudukan mereka, dan untuk menekankan wasiat beliau agar hak-hak mereka dipelihara sebaik-baiknya oleh kaum muslimin.
Dalam uraian Imam Tirmudziy mengenai soal itu terdapat perumusan kalimat yamg oleh Ibnu Taimiyyah dianggap aneh dan menghairankan. Iaitu kalimat yang berbunyi: "Apabila orang-orang yang tidak seunsur atau tidak seasal keturunan dengan mereka (keluarga keturunan ahlulbait) benar-benar menguasai ilmu-ilmu agama secara mendalam, maka kita pun wajib berteladan kepada mereka, sama seperti kita berteladan kepada orang-orang (Imam-imam) terkemuka yang berasal keturunan Rasulullah s.a.w."
Perumusan kalimat seperti itu oleh Ibnu Taimiyyah dianggap menarik garis persamaan antara keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. dan orang-orang dari unsur lain yang bukan keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Jadi, tidak ada keistimewaan apa pun pada orang-orang keturunan Rasulullah s.a.w. Yang dipandang oleh Tirmudziy sebagai ciri istimewa ialah "kedalaman ilmu" yang ada pada orang-orang keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Dengan demikian maka yang diertikan 'itrah' dan 'ahlulbait' menurut Imam Tirmudziy bukan lain hanyalah para ulama, para Imam dan Para ahli Fiqh di kalangan ummat Islam! Benarkah itu yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w.? Tentu tidak!
Yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w. ialah keluarga keturunan dan kaum kerabat, tidak pandang apakah mereka itu Imam, ulama atau bukan. Mengenai para ahli Fiqh, para ulama dan para Imam, mereka itu memang teladan bagi ummat Islam dan merupakan pelita yang menerangi kegelapan. Akan tetapi itu tidak bererti bahawa mereka itu keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Para ulama, para ahli fiqh dan para Imam itu justeru orang-orang yang paling pertama berkewajipan mengindahkan wasiat Nabi s.a.w., yakni secara umum itu wajib menghormati kedudukan dan memelihara hak-hak keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. dengan sebaik-baiknya.
Rasulullah s.a.w. mengucapkan khutbah yang di dalamnya terdapat 'hadits Tsaqalain' itu di depan lautan manusia dan disaksikan oleh para sahabat beliau. Ketika itu beliau baru selesai menunaikan ibadah haji wada. Beliau berangkat dari Madinah ke Makkah disertai beribu-ribu kaum Mislimin, tidak termasuk mereka yang datang dari daerah Yaman. Pada masa itu mereka merupakan bahagian terbesar ummat Islam. Kecuali para sahabat, di antara mereka terdapat juga para ahli Fiqh seperti Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a dan lain-lain. Tidak diragukan lagi, di antara mereka itu pasti terdapat orang-orang yang sudah lebih mendalam ilmu pengetahuannya tentang Fiqh dibanding dengan kebanyakan anggota ahlulbait dan anak-anak mereka. Apakah di antara kaum Muslimin yang sebanyak itu ada yang menyimpulkan, bahawa Rasulullah s.a.w. dengan hadits Tsaqalain itu mewasiatkan para anggota keluarganya supaya memuliakan kedudukan para ulama dan para ahli Fiqh? Apakah beliau berwasiat bahawa anggota-anggota keluarga beliau adalah Abu Bakar Ash-Shiddiq, Umar Ibnul-Khatthab, Zaid bin Tsabit, Ubaiy bin Ka'ab, Mu'adz bin Jabal, Abdullah bin Salam, atau para ulama lainnya, baik yang berasal dari kaum Muhajirin ataupun kaum Ansar? Apakah kaum Muslimin yang sebanyak itu tidak ada yang memahami, bahawa Rasulullah s.a.w. berpesan kepada segenap kaum Muslimin supaya memelihara dengan baik kedudukan para keluarga keturunan dan kaum kerabat beliau? Apakah di antara kaum Muslimin yang beribu-ribu jumlahnya itu tidak ada yang mengerti, bahawa yang dimaksud 'itrah' atau 'ahlulbait' itu 'keluarga keturunan Rasulullah s.a.w.'? Bukan orang-orang selain mereka? Sebab, erti 'itrah' atau 'ahlulbait Rasulullah s.a.w.' tidak bisa lain kecuali mereka, keluarga Rasulullah s.a.w. dan keturunan beliau! Apakah ketika itu ada orang yang mengatakan, bahawa yang dimaksud 'itrah' atau 'ahlulbait' itu bukan keturunan keluarga Rasulullah s.a.w., melainkan orang-orang lain yang tidak mempunyai hubungan darah dengan beliau?
Masih ada satu persoalan lagi yang menjadi pendapat Imam Tirmudziy mengenai masalah 'itrah' dan 'ahlulbait'. Ia mengatakan: "Mereka (ahlulbait) diikuti kerana ilmunya. Kalau ada orang dari unsur lain yang mempunyai ilmu seperti mereka, kita pun wajib mengikutinya dengan cara yang sama seperti kita mengikuti 'ahlulbait'. Jadi menurut Tirmudziy persoalan pokok yang wajib diikuti ialah ilmu, bukan unsur keturunan Rasulullah s.a.w. kerana – menurut Tirmudziy – telah berabad-abad lamanya ijtihad terputus dari mereka, maka mereka telah kehilangan syarat-syarat yang diperlukan"!
Para Ahlus-Sunnah di seluruh dunia dalam masalah hukum Fiqh semuanya mengikuti empat orang Imam, iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dam Imam Syafi'i radhiyallahu anhum. Dalam masalah 'aqa'id kaum Ahlus-Sunnah mengikuti Al-Asy'ariy atau Al-Matridiy. Adapun mengenai para ahlulbait, walaupun pada masa pertumbuhan Islam mereka itu banyak yang menjadi Imam, mujtahid dan pendiri mazhab; namun mazhab-mazhab mereka tidak tercatat dengan baik dan tidak terkenal luas. Mazhab-mazhab mereka menjadi tambah menciut akibat semakin menciutnya para pengikut dan para pendukung mazhab-mazhab mereka.
Apa yang dikatakan oleh sementara golongan pada zaman belakangan, bahawa mazhab mereka itu berasal dari ahlulbait, tidak dapat dibenarkan. Menurut kenyataan mazhab mereka sangat berlawanan dengan mazhab Ahuls-Sunnah. Tirmudziy sendiri dalam uraiannya tidak pernah menyebut peranan para ahlul-bait, padahal mereka itu sumber aslinya. Uraian seperti itu sukar diterima.
Mungkin ada orang yang berkata: Yang dimaksud oleh Tirmudziy bukan kaum mujtahidin, melainkan para ulama dari kalangan keturunan Rasulullah s.a.w. dan mereka itu banyak terdapat di setiap zaman!
Persoalan itu dapat diberikan jawapannya sebagai berikut: Imam Tirmudziy dalam pernyataannya mengemukakan, bahawa para Imam diikuti oleh kaum Muslimin kerana kedalaman ilmunya, khususnya ilmu Fiqh. Pernyataan seperti itu kurang tepat, kerana para Imam tidak bisa lepas sama sekali dari peranan kaum Mujtahidin sebelum mereka. Itu bererti yang diikuti oleh kaum Muslimin adalah kaum mujtahidin, sebab para Imam itu menimba ilmu para mujtahidin!
Lebih jauh Tirmudziy mengatakan: Para ulama yang ada di kalangan mereka (keturunan Rasulullah s.a.w.) pada zaman-zaman belakangan mengikuti salah satu dari empat mazhab, kerananya jelas mereka mengikuti orang lain, bukan orang lain yang mengikuti mereka. Selanjutnya Tirmudziy juga mengatakan: Menurut hemat saya, Rasulullah s.a.w. menunjuk mereka (keluarga keturunan beliau) kerana jika orang dari unsur mereka itu baik maka ia akan sanggup memahami apa yang diperlukan…dan seterusnya.
Apa yang dikatakan Imam Tirmudziy itu perlu dihargai, tetapi ia tidak mengemukakan hujjah atau dalil bahawa yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadits Tsaqalain itu "para ulama" dari ahlul-bait beliau! Seandainya beliau bermaksud seperti itu tentu beliau akan menyebut: "Kutinggalkan kepada kalian dua bekal: Kitabullah dan para ulama dari ahlulbaitku", agar beribu-ribu pendengarnya dapat memahami maksud beliau dengan jelas. Kaum Muslimin yang sedemikian banyaknya itu tentu mempunyai tingkat kecerdasan yang berbeza-beza, ada yang bisa cepat memahami khutbah beliau dan ada pula yang tidak.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar