Imam Al-Hasan dan Imam Al-Husein radhiyallahu 'anhuma:
Sebagaimana telah kami utarakan pada bahagian terdahulu buku ini, kedua orang putera suami-isteri Imam 'Ali bin Abi Thalib r.a. dan Siti Fatimah Az-Zahra r.a., masing-masing oleh Rasulullah s.a.w. dinasabkan kepada beliau sendiri, yakni dinyatakan sebagai putera-putera beliau sendiri. Hadits-hadits shahih mengenai hal itu pun telah kami kemukakan, antara lain sebuah Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Tirmudziy berasal dari Usamah bin Zaid r.a. yang mengatakan sebagai berikut: "Pada suatu hari aku datang menghadap Rasulullah s.a.w. untuk suatu keperluan. Ketika itu beliau s.a.w. bersabda:
"Dua orang anak ini adalah putera-puteraku dan putera-putera anak perempuanku. Ya Allah, aku mencintai kedua-duanya, kerana itu cintailah orang yang mencintai kedua-duanya".
Dalam Hadits shahih yang lain Rasulullah s.a.w. juga menegaskan:
"Sesungguhnya Allah s.w.t. menjadikan keturunan bagi setiap orang Nabi dari tulang sulbinya masing-masing, tetapi Allah menjadikan keturunanku dari tulang sulbi 'Ali bin Abi Thalib". (Kitab 'Ahlul-Bait': 273-274).
Bahkan beliau memberitahukan para sahabatnya, bahwa:
"Al-Hasan dan Al-Husein adalah dua orang pemuda terkemuka penghuni syurga". (Hadits Ibnu Sa'ad Al-Khudriy).
Tentang betapa besar kecintaan beliau kepada dua orang puteranya itu tampak jelas dari pernyataan beliau s.a.w.:
"Ya Allah, aku mencintai kedua anak itu, maka cintailah mereka itu dan cintailah orang yang mencintai kedua-duanya". (Hadits diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.).
Demikian pula penegasan beliau s.a.w.:
"Barangsiapa mencintai mereka bererti mencintaiku dan siapa yang membenci mereka bererti membenciku". Hadits Zaid bin Arqam r.a.).
Betapa besar kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma itu dapat kita ketahui dengan jelas pula dari doa beliau kepada Allah s.w.t. yang memohonkan perlindungan khusus bagi kedua orang cucu beliau itu. Abu Nu'aim meriwayatkan sebuah Hadits berasal dari Abdullah bin 'Abbas r.a. yang mengatakan, bahwa pada suatu hari Abdullah bin 'Abbas sedang berada di kediaman Rasulullah s.a.w. tiba-tiba dua orang anak itu – yakni Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma – lewat di depan beliau. Rasulullah s.a.w. minta supaya kedua anak itu didekatkan kepadanya. Beliau berkata: "Bawalah ke mari dua orang puteraku itu, mereka hendak kumohonkan perlindungan kepada Allah sebagaimana Ibrahim dahulu memohonkan perlindungan bagi dua orang puteranya, Ismail dan Ishaq!" Setelah kedua anak itu berada di dekatnya, beliau lalu berdoa:
"Dengan kalimat Allah yang sempurna kalian kuperlindungkan kepada-Nya dari setiap mata yang berniat jahat dan syaitan serta semua merbahaya".
Imam 'Ali bin Abi Thalib r.a. sendiri juga menegaskan, bahawa Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma adalah putera-putera yang akan meneruskan kegurunan Rasulullah s.a.w. Dalam perang Shiffin sedang berkobar dengan dasyatnya, Imam 'Ali r.a. melihat puteranya, Al-Hasan r.a. terjun ke medan tempur. Saat itu Imam 'Ali r.a. cepat-cepat memerintahkan para sahabatnya: "Singkirkan anak itu dari medan tempur. Lebih baik aku sendiri yang mati daripada putera Rasulullah itu. Dengan selamatnya Al-Hasan dan Al-Husein keturunan Rasulullah s.a.w. tidak akan terputus". ('Syarh Nahjul-Balaghah' XI halaman 25-26).
Mengenai soal keturunan Rasulullah s.a.w. itu, Ibnu Abil Hadid dalam kitabnya 'Syarh Nahjul-Balaghah' XI halaman 26 mengatakan senagai berikut:
"Jika ada orang bertanya kepada saya, apakah Al-Hasan dan Al-Husein dapat disebut sebagai putera-putera keturunan Rasulullah s.a.w.? Pertanyaan itu tentu saya jawap: Ya. Sebab Allah s.w.t. sendiri menyebut mereka dengan istilah 'anak-anaknya' – yakni putera-putera Muhammad Rasulullah s.a.w. sebagaimana termaktub dalam firman-Nya:
"...maka katakanlah – hai Muhammad: Mari kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kalian..." dan seterusnya. (S. Ali Imran: 61).
Yang dimaksud oleh ayat tersebut ialah Al-Hasan dan Al-Husein. Demikian juga seumpama ada orang mewasiatkan harta kekayaan bagi anak-anak keturunannya, tentu anak-anak dari anak perempuannya termasuk dalam pengertian anak-anak keturunan orang yang memberi wasiat itu. Sebutan seperti itu dipergunakan juga oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang menamakan Isa putera Maryam sebagai anak keturunan Ibrahim a.s. Yaitu sebagaimana termaktub dalam ayat 83-85 S. Al-An'am:
"Dan itulah hujjah Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim dalam menghadapi kaumnya. Kami meninggikan darjat siapa saja yang Kami kehendaki, sesungguhnyalah bahwa Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Dan Kami telah menganugerahkan Ishaq dan Ya'qub kepadanya. Kepada kedua-duanya itu telah Kami berikan petunjuk, dan sebelum itu kepada Nuh juga telah Kami berikan petunjuk. Demikian pula kepada sebagian dari keturunannya, yaitu Dawud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa dan Harun. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik; dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas. Semuanya adalah orang-orang saleh".
Jadi jelaslah, bahawa anak dari anak perempuan termasuk dalam pengertian 'keturunan'. Para ahli bahasa tidak berbeza pendapat mengenai hal itu. Demikian Ibnu Abil-Hadid.
Muhammad bin Thalhah dalam kitabnya yang berjudul 'Mathalibus-Sual Fi Manaqibi Aalir-Rasul' menceritakan suatu peristiwa yang pernah terjadi pada zaman kekuasaan Al-Hajjaj bin Yusuf, seorang Menteri Besar di zaman dinasti Bani Umayyah. Ringkas cerita itu sebagai berikut:
'Asy-Syi'biy, seorang ulama besar yang amat saleh, amat besar simpatinya kepada keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Tiap menyebut nama Al-Hasan dan Al-Husein - radhiyallahu 'anhuma – ia selalu mengatakan "putera-putera keturunan Rasulullah s.a.w." Kata-kata Asy-Syi'biy itu sering didengar oleh Hajjaj bin Yusuf (seorang penguasa Bani Umayyah yang dalam sejarah Islam terkenal kejam dan sangat membenci keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w.). Tiap mendengar kata-kata Asyi'biy itu ia selalu marah. Pada suatu hari ia berniat hendak membantah kebenaran ucapan Asy-Syi'biy itu dan sekaligus hendak mencemarkan keturunan Rasulullah s.a.w. di depan tokoh-tokoh masyarakat. Ia memerintah Asy-Syi'biy supaya menghadap, dan sebelum itu ia telah mengumpulkan beberapa orang terkemuka yang sengaja didatangkan dari Kufah dan Bashrah. Mereka itu terdiri dari alim ulama dan para penghafal Qur'an.
Ketika Asy-Syi'biy datang, Al-Hajjaj menunjukkan muka muram dan tidak menjawap ucapan salamnya. Setelah Asy-Syi'biy duduk, Al-Hajjaj memulai percakapan: "Hai Syi'biy, aku selalu mendengar ucapan-ucapanmu yang menunjukkan kebodohanmu!" Asy-Syi'biy agak terkejut dan tidak mengerti apa yang dimaksud oleh Al-Hajjaj. Kerana itu ia bertanya: "Soal apa... hai Amir?" Al-Hajjaj menyahut: "Apakah engkau tidak mengerti bahwa anak seorang itu pasti bernasab kepada ayahnya sendiri? Semua keturunan harus dinasabkan kepada ayah mereka. Apa sebab engkau selalu mengatakan, bahwa anak-anak 'Ali bin Abi Thalib itu putera-putera Rasulullah dan keturunan beliau? Apakah mereka itu mempunyai hubungan darah dengan Rasulullah s.a.w. selain melalui ibu mereka, yaitu Fatimah? Keturunan tidak akan mungkin dinasabkan kepada perempuan, tetapi hanya dapat dinasabkan kepada lelaki!"
Asy-Syi'biy diam membiarkan Al-Hajjaj selesai berbicara mengemukakan bantahannya di depan semua orang yang hadir. Setelah itu barulah Asy-Syi'biy menjawap: "Ya Amir, saya sama sekali tidak menduga bahwa anda akan berbicara dengan kami menggunakan kata-kata yang biasa dipergunakan orang-orang bodoh yang tidak memahami Kalamullah dan Sunnah Rasul; atau kata-kata yang biasa digunakan oleh orang-orang yang sengaja mengingkari kebenaran Allah dan Rasul-Nya!"
Al-Hajjaj bertambah marah kemudian berkata lagi: "Celakalah engkau! Apakah kepada orang seperti aku ini engkau berani mengucapkan kata-kata seperti itu?"
Dengan tegas Asy-Syi'biy menjawap: "Ya...mereka yang hadir itu adalah para alim ulama yang sengaja anda datangkan dari Kufah dan Bashrah. Mereka adalah orang-orang yang memikul Kitab Suci di atas pundaknya masing-masing! Bukankah Allah s.w.t. dalam firman-Nya berulang-ulang menggunakan kata-kata "Hai Bani (anak-anak) Adam"... "Hai Bani Israil"? Mengenai Ibrahim a.s. Allah s.w.t. juga berfirman: "...dan salah seorang dari keturunannya ialah Isa"? Apakah Isa a.s. mempunyai hubungan darah dengan tiga nama tersebut selain melalui bondanya, yaitu Maryam? Kerana itu benarlah Hadits yang memberitakan sabda Rasulullah s.a.w. yang menegaskan, bahwa Al-Hasan dan Al-Husein itu kedua-duanya putera beliau dan pemuda terkemuka penghuni syurga!"
Dengan jawap Asy-Syi'biy yang tak mungkin dapat dibantah itu, Al-Hajjaj tampak kemalu-maluan, lebih-lebih lagi kerana para alim ulama yang didatangkan dari Kufah dan Bashrah tidak membantah penjelasan Asy-Syi'biy yang didasarkan pada nash Kitab Suci Al-Qur'anul-Karim.
Banyak sumber riwayat yang mengemukakan, bahwa baik Al-Hasan r.a. maupun Al-Husein r.a., kedua-duanya merasa bangga dipanggil dengan "Ibnul-Mushthafa", yang bererti "putera Rasulullah". Masing-masing memanggil beliau s.a.w. dengan "ayahku". Al-Hasan r.a. memanggil ayahnya sendiri (Imam 'Ali r.a.) dengan "Abul-Husein", sedangkan Al-Husein r.a. memanggilnya dengan "Abul-Hasan". Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, barulah mereka memanggil Imam 'Ali r.a. dengan 'ayahku'. Demikianlah yang kita ketahui dari kitab 'Ahlul-Bait' halaman 271.
Hadits-hadits Rasulullah s.a.w. mengenai Al-Hasan dan Al-Husein r.a. yang diriwayatkan oleh para sahabat banyak sekali jumlahnya. Semuanya menunjukkan betapa besar perhatian, kecintaan, kasih sayang dan pesan serta wasiat beliau s.a.w. mengenai dua orang cucunya yang oleh beliau sendiri dinyatakan sebagai dua putera beliau sendiri. Hadits-hadits tersebut bertebaran di dalam berbagai kitab Hadits, kitab Riwayat, Tarikh dan lain sebagainya. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Risalah "Fadhlu Ahlulbait Wa Huququhum" menghimpun Hadits-hadits mengenai Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma lebih dari 50 buah. Di bawah ini kami kutipkan sebahagian dari Hadits-hadits tersebut:
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan kesaksiannya sendiri, bahawa pada suatu hari sekembalinya bersama Rasulullah s.a.w. dari tempat perniagaan (pasar) Bani Qainuqa, langsung menuju tempat kediaman Siti Fatimah r.a. Rasulullah s.a.w. bertanya :
"Apakah Laka' ada, apakah Laka' ada di sini?"
Yang di maksud 'Laka' ialah Al-Hasan r.a. Kami berdua mengira Al-Hasan r.a. sedang dimandikan oleh bundanya. Tiba-tiba Al-Hasan datang, kemudian Rasulullah s.a.w. memeluknya seraya berucap:
"Ya Allah, aku mencintai dia maka cintailah dia dan cintailah orang yang mencintainya". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 76).
Siti Aisyah r.a. meriwayatkan, bahwa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. keluar membawa pakaian longgar terbuat dari bulu berwarna hitam. Beberapa saat kemudian datanglah berturut-turut Al-Hasan r.a., Al-Husein r.a., Fatimah r.a., dan 'Ali r.a. Semuanya oleh beliau diminta masuk dalam pakaian yang dibawanya itu, kemudian beliau s.a.w. mengucapkan:
"Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan kotoran (rijsa) dari kalian, hai Ahlulbait, dan hendak mensucikan kalian sesuci-sucinya". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 77).
Buraidah r.a. meriwayatkan, di saat Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah datanglah Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma, masing-masing mengenakan pakaian berwarna merah. Dua orang anak yang masih kecil-kecil itu terantuk kakinya hingga jatuh. Melihat itu Rasulullah s.a.w. segera turun dari mimbar untuk mengangkat mereka lalu dipangkunya. Saat itu beliau berkata:
"Maha Benar Allah yang telah berfirman, bahwa harta dan anak-anak kalian sesungguhnya adalah fitnah (ujian). Ketika aku melihat dua orang anak kecil ini berjalan dan kakinya terantuk aku tak tega hingga kuputus perkataanku dan dua-duanya kuangkat". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 81).
Ya'la bin Murrah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menegaskan:
"Husein bagian dari aku dan aku bagian dari Husein. Allah mencintai orang yang mencintai Husein. Husein adalah seorang cucu dari beberapa cucu yang lain". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 84).
Ibnu 'Abbas meriwayatkan, bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan sambil memanggul Al-Hasan r.a. di atas pundaknya. Orang yang melihatnya berkata: Hai anak kecil, alangkah mulianya yang kau naiki itu! Mendengar suara itu Rasulullah menjawap:
"Yang naik pun mulia juga"! ('Ahlulbait Wa Huququhum': 85).
'Amr bin Abi Salamah (putera asuh Rasulullah s.a.w.) mengatakan, bahwa ayat "tathhir" (ayat 33 S. Al-Ahzab) turun kepada Rasulullah s.a.w. di saat beliau sedang berada di kediaman Ummu Salamah. Beliau kemudian memanggil Siti Fatimah r.a., Al-Hasan r.a. dan Al-Husein r.a. Mereka bertiga lalu ditutupi dengan kisa (sejenis kain). Imam 'Ali r.a. berada di belakang beliau s.a.w. dan ditutupi juga dengan kisa. Kemudian Rasulullah s.a.w. berdoa:
"Ya Allah, mereka itu adalah ahlulbaitku, maka hilangkanlah kotoran – rijsa – dari mereka dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya".
Saat itu Ummu Salamah bertanya: "Ya Rasulullah, apakah aku termasuk mereka? Rasulullah s.a.w. menjawap:
"Engkau berada di tempatmu dan engkau memperoleh kebajikan". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 86).
Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan, bahwa Rasulullah s.a.w. pernah berkata:
"Al-Hasan dan Al-Husein dua pemuda terkemuka penghuni syurga, dan ayah mereka lebih baik dari kedua-duanya". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 89).
Abu Hurairah r.a. mengatakan bahwa Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:
"Barangsiapa mencintai Al-Hasan dan Al-Husein bererti ia mencintaiku dan siapa yang membenci mereka berdua bererti membenciku". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 90).
Abu Hurairah mengatakan, bahawa ia melihat sendiri Al-Hasan r.a. masuk ke dalam hijr (kamar) Rasulullah s.a.w. lalu membelai-belai janggut beliau dengan jari-jarinya. Anak itu kemudian dirangkul lalu Rasulullah s.a.w. memasukkan lidahnya ke mulut Al-Hasan seraya berkata:
"Ya Allah, aku mencintai dia, maka cintailah ia". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 115).
Imam 'Ali r.a. meriwayatkan, bahawa (ketika Al-Husein r.a. masih bayi) Rasulullah s.a.w. menyuruh Siti Fatimah r.a. memotong rambut puteranya, Al-Husein r.a. Setelah itu Rasulullah s.a.w. berkata:
"Timbanglah rambut Al-Husein dan bersedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya, dan berilah dukun beranak kaki (paha kambing) aqiqah". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 117).
Imam Ahmad bin Hanbal di dalam "Musnad"-nya dan Ibnu Habban di dalam "Shahih"-nya mengetengahkan sebuah Hadits dari Hudzaifah r.a. yang mengatakan, bahwa pada suatu hari di saat sedang berada di kediaman Rasulullah s.a.w., tiba-tiba beliau bersabda:
"Tahukah engkau, hai Hudzaifah, siapa yang menghadap kepadaku tadi? Dia seorang malaikat yang baru malam ini ia turun ke bumi, setelah minta izin kepada Allah Azza wa Jalla untuk mengucapkan salam kepadaku, dan memberi khabar gembira bahawa Al-Hasan dan Al-Husein itu kedua-duanya pemuda terkemuka penghuni syurga, dan Fatimah pun wanita terkemuka penghuni syurga". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 134).
Siti Fatimah r.a. meriwayatkan, bahwa Rasulullah s.a.w. berkata:
"Hasan mempunyai bentuk seperti bentukku dan mempunyai kemuliaan seperti kemuliaanku; sedang Husein mempunyai keberanian seperti keberanianku dan dermawan seperti dermawanku". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 135).
Al-Baghwiy dan Abdulghaniy di dalam kitab 'Al-Idhah' dan Ibnu Asakir mengetengahkan sebuah Hadits berasal dari Salman Al-Farisiy r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. berkata:
"Harun a.s. menamakan dua orang puteranya Syibr dan Syubair; aku menamakan dua orang puteraku Al-Hasan dan Al-Husein. Sama dengan nama yang diberikan oleh Harun". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 136).
Ibnu Asakir mengetengahkan sebuah hadits dari Anas bin Malik r.a., bahwasanya Rasulullah s.a.w. pernah berkata mengingatkan:
"Hendaknya di antara kalian tidak ada seorangpun yang berdiri dari tempat duduknya (untuk menghormati orang lain) kecuali untuk Al-Hasan dan Al-Husein atau keturunan mereka berdua". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 138).
Abu Ishaq mengatakan, bahwa pada suatu hari Imam 'Ali r.a. sambil memandang wajah puteranya, Al-Hasan r.a., berkata:
"Anakku itu adalah sayyid, sebagaimana Rasulullah s.a.w. menamainya. Dari tulang sulbinya akan keluar (melahirkan) orang yang namanya sama dengan nama Nabi kalian! Ia serupa dengan beliau dalam hal akhlaknya dan tidak sama dengan hal bentuk tubuhnya. Ia akan meratakan keadilan di muka bumi". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 145).
Ibnu Asakir mengetengahkan sebuah Hadits dari Abu Ja'far yang mengatakan, bahwa di saat Al-Hasan sedang bersama Nabi s.a.w. ia merasa sangat haus. Beliau s.a.w. minta supaya diambilkan air, tetapi tak ada air. Akhirnya Rasulullah s.a.w. memasukkan lidahnya ke mulut Al-Hasan lalu oleh Al-Hasan lidah beliau di hisap-hisap seperti kurma.
Dari Hadits-hadits tersebut tampak jelas betapa besar perhatian, kecintaan dan kasih sayang Rasulullah s.a.w. kepada dua orang cucunya, Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma. Selain itu banyak pula para sahabat beliau s.a.w. yang meriwayatkan Hadits-hadits Nabi tentang kepahlawanan shayid yang dialami oleh Al-Husein r.a. Hadits-hadits mengenai itu antara lain seperti di bawah ini:
Salma mengatakan, bahwa pada satu hari ia melihat Ummu Salamah sedang menangis. Salma bertanya: "Kenapa anda menangis?" Ummu Salamah r.a. menjawap: "Aku mimpi melihat Rasulullah s.a.w. kepala dan janggutnya berlumuran tanah. Aku bertanya: "Ya Rasulullah, anda mengapa?" Beliau menjawap:
"Tadi aku melihat Al-Husein mati terbunuh". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 83).
Ibnu Sa'ad dan Thabraniy mengetengahkan sebuah Hadits berasal dari Siti Aisyah r.a., bahwasanya Rasulullah s.a.w. berkata:
"Jibrail memberitahukan kepadaku, bahawa anakku Al-Husein sepeninggalku akan mati terbunuh di negeri "Thaf". Jibril membawa tanah ini kepadaku dan memberitahu, di sanalah Al-Husein gugur". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 138).
Ibnu Sa'ad mengetengahkan sebuah Hadits berasal dari Ummu Salamah, bahwa Rasulullah s.a.w. berkata:
"Jibril memberitahukan kepadaku, bahawa anakku Al-Husein akan mati terbunuh di negeri Iraq. Kepada Jibril aku berkata: Perlihatkanlah kepadaku segumpal tanah tempat ia terbunuh. Jibril datang...dan inilah tanahnya". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 139).
Al-Baghwiy, Ibnus-Sakn, Al-Barudiy, Ibnu Mandas dan Ibnu Asakir, masing-masing mengetengahkan Hadits Anas bin Harits r.a. yang meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. berkata:
(Anakku ini – yakni Al-Husein r.a. – kelak akan mati terbunuh di salah satu daerah Iraq yang disebut dengan nama Karbala. Kerana itu barangsiapa di antara mereka (kaum Muslimin) yang menyaksikan (kejadian itu) hendaknya menolongnya). ('Ahlulbait Wa Huququhum': 139)
Hadits Ummu Salamah yang diketengahkan oleh Thabraniy menerangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. berkata:
"Jibril bersama kami di dalam rumah. Ia bertanya: Hai Muhammad, apakah engkau mencintai Al-Husein? Aku menjawap: Di dunia aku sungguh-sungguh mencintainya. Jibril kemudian berkata: Ummatmu kelak akan membunuh dia di suatu daerah bernama Karbala!... Jibril kemudian mengambil segumpal tanah dari tempat itu dan diperlihatkan kepada kami". ('Ahlulbait Wa Huququhum": 140).
Hadits Ummu Salamah yang diketengahkan oleh Ibnu Asakir meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. berkata:
"Jibril memberitahukan kepadaku bahwa anakku ini (Al-Husein r.a.) akan mati terbunuh, dan Allah sangat murka terhadap orang yang membunuhnya". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 140).
Siti Aisyah r.a. meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadanya:
"Jibril memperlihatkan kepadaku segumpal tanah dari tempat Al-Husein terbunuh, dan Allah sangat murka terhadap orang yang menumpahkan darahnya. Hai Aisyah, demi Allah yang nyawaku berada di tangan-Nya, aku sungguh sedih, siapakah sebenarnya orang dari ummatku yang akan membunuh Husein sepeninggalku!" ('Ahlulbait Wa Huququhum': 140).
Thabraniy mengetengahkan sebuah Hadits yang diriwayatkan oleh Ummul Mu'minin, Siti Zainab binti Jahsy, bahwasanya Rasulullah s.a.w. berkata:
"Jibril datang kepadaku memberitahu bahwa anakku ini – yakni Al-Husein r.a. – kelak akan dibunuh oleh ummatku. Aku bertanya kepadanya: Dapatkah anda memperlihatkan kepadaku gumpalan tanah dari tempat ia akan terbunuh? Jibril kemudian memberikan kepadaku segumpal tanah berwarna merah". ('Ahlulbait Wa Huququhum': 140).
Dari semua Hadits Rasulullah s.a.w. yang berkenaan dengan para ahlulbait, baik Imam 'Ali r.a., Siti Fatimah r.a., Al-Hasan r.a. mahupun Al-Husein r.a., kita dapat mengetahui betapa satunya fikiran dan perasaan beliau s.a.w. dengan mereka. Benarlah jika beliau menegaskan bahwa mereka itu bagian dari beliau dan beliau pun bagian dari mereka, siapa yang mencintai mereka bererti mencintai beliau dan siapa yang membenci mereka bererti membenci beliau s.a.w. Satunya beliau s.a.w. dengan ahlulbaitnya tercermin dengan jelas sekali dalam firman Allah s.w.t. S. Asyura: 23, yaitu:
"Katakanlah – hai Muhammad – Aku tidak minta upah apa pun kepada kalian selain cintakasih dalam kekeluargaan".
Mengenai soal itu akan kami bicarakan tersendiri.
3) Raihanah = Jenis tetumbuhan yang berbau harum.
4) Kalimat terakhir itu diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. sambil menunjuk kepada janggut dan kepala
Imam Ali r.a. Beliau memberi isyarat bahawa janggut Imam Ali r.a. kelak akan berlumuran darah yang mengalir dari kepalanya akibat pembunuhan gelap yang dilakukan oleh Aburrahman bin Muljam, pengikut kaum Khawarij.
5) "Asy-Syaraful-Muabbad Li Aaali Muhammad": 108.
6) Ibid.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar